Tuesday, November 15, 2011

Sisipan Muzika Shah Alam

Pada 29 Oktober 2011 (sabtu) yang lalu Majlis Bandaya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan Program Berjogging bersama Datuk Bandar Shah Alam dan Muzika Shah Alam yang bertempat di Laman Budaya bermula dari jam 7.30 pagi hingga 6.30 petang. Program ini diadakan sempena Sambutan Ulangtahun Bandaraya Shah Alam yang ke–11.

Program ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat di samping dapat memberi peluang kepada peserta dan pengunjung untuk menghayati pemandangan indah di Taman Tasik Shah Alam, menikmati hiburan sihat, serta dapat menjalinkan keakraban di antara pihak MBSA dengan soktor korporat dan agensi kerajaan yang lain.

Terdapat beberapa agensi yang turut serta dengan membuka ruang pameran dan gerai antaranya adalah Jabatan Perancangan (MBSA), sudut bacaan (MBSA), UiTM Puncak Alam, KPJ Selangor, SIRIM, MAYBANK, Bank Muamalat, MES, Herbalife dan lain-lain.

Pada sebelah pagi sebelum bermula acara berjogging peserta mengikuti sesi pamanasan badan senamrobik. Sementelahan itu, jambatan taman tasik juga telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Shah Alam. Pada majlis yang berasingan pula, Datuk Bandar Shah Alam, telah sudi menyampaikan plak kepada semua para penaja yang terlibat sebagai tanda penghargaan.

Dalam pada itu, program Muzika Shah Alam mengambil tempat bagi acara pentas. Para pengunjung disajikan dengan bingkisan bersembahan pentas yang cukup menghiburkan seperti kumpulan tarian kontemporari, seni pertahanan diri, football free styler, persembahan drum line, Kumpulan Koir Kepong Shine dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong, bacaan puisi oleh aktivis puisi muda Mohd Hatta dan persembahan mantap oleh kumpulan Bale-Bale.

Pada sesi petang pula, dihiburkan dengan persembahan teater muzikal Pak Kaduk Yang Malang dari Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung, persembahan tarian kebudayaan, persembahan puisi dan lagu oleh Kerusi Sepi, Ermi Fadullah dan Pendekar Bambu. Elemen erak tari yang sangat bertenaga telah ditampilkan oleh anak-anak muda daripada kumpulan Predacon Squadz.

Kombo MBSA juga tidak ketinggalan membuat persembahan dengan menampilkan Dani Hasbullah, Nur Audi dan Afiq yang bakatnya telah dicungkil daripada pertandingan D’Muzik@LB (nyanyian & band) yang dianjurkan oleh MBSA. Turut ditampilkan artis budaya MBSA, Shelly. Acara kemuncak telah dihangatkan lagi dengan kemunculan artis baru Shahz, kumpulan remaja popular tanah air iaitu Forteen dan juara lagu 2010, Ana Rafali. Penganjuran Muzika Shah Alam berjaya menambat hati peminat seni yang hadir.