Tuesday, September 29, 2009

Program ADIBUDAYA

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengadakan Program Adibudaya pada 11 Oktober 2009. Program yang berlansung pada Hari Ahad, pada jam 4.30 – 6.30 petang diadakan sempena Ulangtahun Bandaraya ke 9, Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Perayaan Deepavali.

Penganjuran program ini digarap dengan menggabungkan persembahan tarian tradisional dan kontemporari dari pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina India. Ia juga akan menampilkan Kombo MBSA dengan membawakan konsep ritma muzik pop yeh-yeh untuk semua. Di samping itu seramai 10 peserta program D’Muzik@LB juga akan bertanding.

Sementelahan itu, para pengunjung juga akan dihiburkan oleh penyanyi Izwan Pilus, Farez (Melissa), kumpulan remaja UNONE dan juara bintang asli Selangor, saudari Fazlina. Lebih menarik apabila pengunjung Laman Budaya juga berpeluang untuk memenangi hadiah misteri dan duit raya.

Bahagian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Jabatan Korporat, Majlis Bandaraya Shah Alam optimis dalam menyemarakkan aktiviti seni dan budaya dan ia juga merupakan satu medium dalam mencungkil bakat-bakat baru, memberi peluang untuk para seniman berkarya dan yang lebih penting ialah memupuk semangat perpaduan melalui seni dan budaya.

Pihak penganjur mengalu-alukan orang ramai dan warga Shah Alam untuk hadir ke Laman Budaya. Maklumat lanjut mengenai Program Adibudaya dan aktiviti-aktiviti yang berlansung di Laman Budaya Shah Alam, boleh melayari www.lamanbudaya.blogspot.com atau hubungi Pegawai Kebudayaan dan Pelancongan En. Mohd Zulfahmee Ismail di talian 013-3507888.


Dikeluarkan oleh : Bahagian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Jabatan Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam