Thursday, January 7, 2010

2010 - Dari meja penulis blog...

Salam 2010..... semoga tahun baru ini yang baik-baik sahaja bertandang. Memartabatkan warisan budaya adalah tugas semua. Saya menutup fragmen 2009 dengan membawa kenangan yang manis saja. Tidak salah untuk menguburkan memori yang kurang enak

Jika 2009, saya teruja dapat bersama dengan ramai insan kreatif dalam melestari kegiatan seni dan budaya. Menjadikan LBSA sebagai "kampung dalam taman" yang meriah dengan kepelbagaian aktiviti seni pada setiap Ahad di hujung minggu. Lebih indah, bila orang-orang kreatif dapat berkumpul, bersenda tawa dan memberi adpatasi seni, baik amatur, artis popular, aktivis dan Sasterawan Negara. Sama-sama menghirup udara keamanan.

Berkarya adalah bukan untuk suka-suka! ia bukan pesta yang melalaikan. Saya dan bersama tenaga kreatif sedaya upaya "melunaskan" tanggungjawab sosial melalui penganjuran aktiviti-aktiviti seni dan budaya. Kami percaya, apa yang kami lakukan ini sebagai satu usaha untuk membentuk kerukunan masyarakat melalui seni.

Blog dan "ruang sempit" ini juga akan tampil berbeza bagi tahun ini dan mendatang, ia bukan sekadar menceritakan aktiviti dan catitan seni di Shah Alam tetapi juga akan melangkaui sempadan seni bagi Malaysia dan dunia. Mudah-mudahan.

Tuntasnya, 2010 memberi cabaran berbeza, saya harus akur dengan kekangan kewangan dan perbezaan pendapat. Justeru, saya dan tenaga kreatif akan cuba melaluinya dengan penuh hemah. Kami akan terus berkarya dengan panca warna berbeza.