Wednesday, May 11, 2011

Malam Puisi Riong-Shah Alam tampil hebat!!!

Malam Puisi Riong-Shah Alam telah pun lunas pada 6 Mei 2011 yang lalu. Penganjuran program kali ini digarap dengan mengangkat tema ”Katarsis” yang membawa maksud kelegaan emosi. Ia menggabungkan puisi, muzik dan gerak tari. Bacaan puisi bertemakan ketuhanan, kemanusian dan alam sekitar dizahirkan oleh pelantun puisi pada malam tersebut. Persembahan gerak tari pula dibawa oleh Kumpulan Kesenian Shah Alam (KKSA) yang terdiri daripada para pelajar dan penari profesional.

Program ini dianjurkan oleh Bahagian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Jabatan Korporat, Majlis Bandaraya Shah Alam dengan kerjasama Berita Harian dan penglibatan aktivis kesenian. Ia juga program kedua membabitkan kerjasama MBSA-BH selepas pertama kali menjayakannya, April tahun lalu.

Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan telah melantunkan puisinya, Rindu Bendahara yang menceritakan situasi semasa masyarakat pada ketika ini. Puisi itu memaparkan kehebatan Bendahara Melaka yang berusaha mengawal negeri pada masa sukar dan ketika menghadapi pelbagai ancaman. Ia juga menceritakan ancaman dari luar, mahupun dalam yang dihadapi hari ini termasuk isu perpaduan serta penggunaan Bahasa Melayu.

Turut membaca puisi pada acara itu ialah penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2005, Abdul Ghafar Ibrahim (AGI) yang mendeklamasikan puisinya, La-la-la dengan mesej keamanan dan keharmonian. Malam Puisi Riong-Shah Alam turut menampilkan pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-25, Ana Raffali, penyanyi muda, Amylea AF; personaliti popular TV3, Ahmad Fedtri Yahya, aktivis indie, Fynn Jamal, pembaca berita BERNAMA, Tawfiq Isa dan personaliti RTM, Harlym Yeo.

Sementelahan itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dan Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainor Said turut beraksi di pentas puisi buat pertama kali, di samping wakil Unit Kebudayaan UiTM Melaka, Mohd Hatta Mohd Yatim, Pegawai Kebudayaan dan Pelancongan, Jabatan Korporat MBSA, Mohd Zulfahmee Ismail bersama residen artis MBSA Fatin Syazana, Andenn Hassan, Mohd Suffian serta Noor Azah Ahmad.

Penganjuran pada tahun ini telah berjaya menghimpun lebih 1000 orang ke Laman Budaya bagi menyaksikan program tersebut dan berjaya mendapat reaksi positif dari kalangan generasi muda. Secara tuntasnya, Malam Puisi Riong-Shah Alam telah berlangsung dengan baik. Ia juga telah berjaya mengangkat dan mempromosi karya puisi. Malah program ini juga telah memberi peluang untuk para seniman berkarya. Pihak penganjur percaya program ini mampu memberi nilai tambah yang positif dan menyemarakkan lagi seni dan budaya. Usaha ini juga dibuat bagi mempromosi Shah Alam sebagi bandaraya yang berbudaya dan paling signifikasi, program yang dibuat adalah untuk memupuk semangat perpaduan melalui seni dan budaya.