Wednesday, May 5, 2010

Malam Puisi Riong Shah Alam lunas di Laman Budaya

Hujan lewat petang 30 April pada mulanya amat menggusarkan jiwa. Angin petang yang bertiup kencang membuatkan saya sedikit tidak senang duduk. Alhamdulillah tika senja mula melabuh, hujan seakan-akan faham bahawa “Wasilah Cinta Pencipta & Manusia” bakal bermula. Jika dua minggu sudah saya amat sibuk untuk meguruskan hal-hal “hitam putih” dan pengesahan persembahan bagi Malam Puisi Riong-Shah Alam. Akhirnya tarikh 30 April muncul jua. Sedaya upaya saya menggalas tangunggjawab sebagai Pengarah Projek bagi program tersebut dengan sokongan semua pihak. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk turut beraksi pada malam tersebut bersama Kumpulan Kesenian MBSA dengan membawakan persembahan yang bertajuk “Kerdil Jiwa Hamba”.

Kehadiran peminat puisi pada malam itu adalah amat membanggakan kerana lebih dari 1000 orang yang membanjiri Laman Budaya. Para pengunjung terlebih dahulu dihidangkan dengan persembahan video pendek “Sujud” dan dokumentari. Membuka tirai puisi pada malam tersebut ialah Ashraf Ishak yang banyak mencuri masa. Bagi penggiat muda seperti Noor Azah Ahmad, Mohd Suffian, Mohd Hatta Mohd Yatim, Siti Fariha, Fazleena Hishamudin, Andenn Hassan dan Dr Samsi begitu hebat dipentas puisi. Kehadiran Fynn Jamal juga mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin. Turut hebat ialah Harlym Yeo dan Shukri Abdullah.

Menceriakan majlis apabila Y.B Puan Rodziah Ismail turut tampil beraksi dengan membaca naskah “Lantera Wanita” dan Y.Bhg Dato’ Mazlan Md Nor, Datuk Bandar Shah Alam tampil dengan membaca puisi “Semarak Anggerik Mokara”. Sementara itu, Y.Bhg Dato Meor daripada Berita Harian turut beraksi di pentas puisi. Persembahan gerak tari dari KKNS juga turut memukau.

Malam Puisi terus hangat apabila gurindam dan lagu didendangkan oleh penyanyi Rizu Bintang Realiti (OIAM) dan Rini (AF7). Kehadiran Agi, Faisal Teharani, SN. Datuk A.Samad Said dan SN. Dato’ Dr Anuar Rethwan sememangnya ditunggu-tunggu. Peminat puisi tetap setiap walaupun malam meniti lewat. Tirai Malam Puisi Riong-Shah Alam ditutup dengan persembahan oleh penyanyi Aishah.

Tuntasnya, program ini digarap dengan menggabungkan puisi dan elemen gerak tari dan muzik. Program ini berjaya mengumpulkan “orang-orang lama” dan generasi muda. Adalah tidak lain, tujuan utama pengajuran ini ialah bagi mengangkat dan mempromosi karya puisi, mempromosi Negeri Selangor sebagai Negeri yang berbudaya dan memupuk semangat perpaduan melalui seni dan budaya serta menyampaikan mesej-mesej Kemanusian dan Ketuhanan kepada masyarakat. Akhir kata, sekalung terima kasih untuk semua kerana menjayakan Malam Puisi Riong-Shah Alam.

Sekian,
Fahmee

Monday, May 3, 2010

Karya - Lantera Wanita (MPR-Shah Alam)

Lantera Wanita
Karya : Mohd Zulfahmee Ismail


Puisi ini telah dibaca oleh Y.B Puan Rodziah Ismail sempena Malam Puisi Riong, Shah Alam



Bak mutiara di perlembahan
Terpercik sinar terangi kesuraman
Walau tersemat dalam kelam
Serimu tak akan padam

Pada sebuah wajah keriangan
Terukir sebuah ketenangan
Seringkali tak siapa yang mengerti
Rahsia di lubuk hati
Tentang tawa
Tentang tangis
Tentang senyum
Tentang duka

Walaupun badai menanti
Wanita tetap utuh berdiri
Di atas semangat kemanusiaan
Menyelusuri derap perjuangan
Yang tiada berkesudahan
Pengorbanan yang dizahirkan
Tak pernah pinta balasan
Kau titiskan air mata
Namun tersenyum jua

Wanita engkaulah sang lantera
Tiadamu sepilah adi maya
Semoga kau damai sejahtera
Hari ini, esok dan selama-lamanya...

Semarak Anggerik Mokara (MPR-Shah Alam)

Semarak Anggerik Mokara
Karya : Mohd Zulfahmee Ismail


Puisi ini telah dilontarkan oleh Y.Bhg Dato' Mazalan Md Nor
Datuk Bandar Shah Alam

Andai malam ini langit tidak berbintang
Shah Alam tetap berderang
Menderu angin tasik
Hembusan yang nyaman

Tersergam Masjid biru
Membisik pedoman
Merawat hati yang rawan

Daerah ini tenang
Keluarga disayangi
Tetangga dihormati
Keamanan dihargai
Lestari rumpun madani

Kita hirup udara kebebasan
Merintis jalan kebahagiaan
Shah Alamku bandaraya bestari
Membangun dengan mampan
Metropolitan yang mempesonakan

Buat anak-anak
Generasi penyambung zaman
Marilah berduyun-duyun
Menuju puncak kejayaan
Bak semarak anggerik Mokara
Wanginya setaman