Friday, August 7, 2009

KENYATAAN AKHBAR SELANGOR MUZIKAL EXTRAVAGANZA 2009

SHAH ALAM – SELANGOR MUZIKAL EXTRAVAGANZA 2009 yang sedang berlansung pada 1 hingga 9 Ogos di sekitar Bandaraya Shah Alam telah membawakan festival seni yang unggul. Program yang diilhamkan oleh Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor dalam menjadikan Negeri Selangor sebagai daya tarikan pelancong terhadap kesenian dan kebudayaan. Penganjuran program ini juga merupakan persediaan kepada pelancaran Tahun Melawat Selangor (2010).

Program ini telah dirasmikan oleh Y.B Puan Elizabeth Wong Keat Ping pada 1 Ogos yang lepas. Kemuncak dan majlis penutup bagi Selangor Muzikal Extravaganza 2009 akan berlansung pada 9 Ogos di Dataran Shah Alam yang akan disempurnakan oleh Y.A.B Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim, Dato Menteri Besar. Majlis penutup juga bakal dihadiri oleh para delagasi luar.

Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai persembahan kebudayaan serta alunan muzik telah dipersembahkan merangkumi aspek budaya dan muzik masyarakat majmuk di Malaysia. Antaranya adalah, Pertandingan Pancaragam, Dram Halilintar, Persembahan Kebudayan, Konsert Nasyid, Pertandingan Marhaban dan Berzanji, Festival Jalanan, Konsert 1 Heart Selangor, Permainan Tradisional, Sambutan Orang Asal Sedunia, Pertandingan Tarian, Persembahan Teater, Persembahan Puisi dan Lagu Indie, Persembahan Band, Twin Festival, Poco-poco, Pameran Kereta Mini Klasik, Pertandingan Patriotik Idol. Persembahan Akustik, Baca Naskah dan Konsert Penutup yang akan menjanjikan satu kelainan dan akan diserikan dengan artis-artis popular seperti Noryn Aziz, Yuna, Hujan, Hattan dan ramai lagi.

Program Selangor Muzikal Extravaganza telah dilaksanakan di beberapa tempat utama di sekitar Shah Alam seperti Dataran Shah Alam, Laman Budaya. Auditorium MBSA, Taman Tasik Shah Alam, Dataran Kemerdekaan, Plaza Alam Sentral dan Subang Parade.

Program yang julung kali diadakan telah memberi peluang kepada penggiat seni tanah air untuk berkarya dan menandakan satu apresiasi Kerajaan Negeri Selangor kepada semua penggiat seni. Sementelahan itu, program ini juga dilihat sebagai medium perpaduan melalui seni.

Maklumat lanjut mengenai Selangor Muzikal Extravaganza boleh layari www.tourismselangor.org dan www.lamanbudaya.blogspot.com atau hubungi 03-
55132000.


SEKIAN TERIMA KASIH


DIKELUARKAN OLEH
MOHD ZULFAHMEE BIN ISMAIL
013-350788

No comments: