Wednesday, November 18, 2009

Generasi Bebas Dadah!!!

Pada 14 November 2009 yang lepas, satu konsert amal bersama Persatuan Pengasih Malaysia telah dianjurkan dengan jayanya. Konsert amal ini dianjurkan pelajar semester 7b diploma komunikasi dan media, Universiti Industri Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam. Program ini merupakan sebuah program pelbagai (mini miscellaneous event) yang mengumpulkan belia seramai mungkin untuk berhibur disamping menyebarkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahayanya penyalahgunaan dadah dikalangan golongan remaja. Program ini menggunakan pendekatan muzik sebagai medium untuk menyampaikan mesej tersebut. Pelbagai aktiviti telah berjaya dilaksanakan sepanjang program ini.

Di antara tetamu kehormat yang hadir ialah Tuan Mohtar Hani (Timbalan Datuk Bandar Shah Alam), Tuan Haji Yunus Pathi (Presiden Persatuan Pengasih Malaysia), Prof. Dr. Haji Anuar Haji Ahmad (Timbalan Naib Canselor Akademik, Unisel) dan Prof. Dr Muhammad Ali Bin Sekak (Ketua Program Komunikasi Dan Media, Unisel). Tetamu Kehormat diarak menaiki Bot mengelilingi sekitar Tasik Shah Alam yang ditaja oleh Antan Batura Sdn. Bhd. Tetamu kehormat juga diberi penghormatan melepaskan sepasang burung merbok sebagai simbol kebebasan daripada najis dadah. Majlis juga menyaksikan upacara penyampaian sumbangan sebanyak RM2000 kepada Persatuan Pengasih Malaysia hasil sumbangan pelajar-pelajar Unisel.

Program diteruskan dengan persembahan kumpulan-kumpulan muzik bebas pada sebelah petang. Kumpulan-kumpulan muzik tersebut diberikan slot selama 20 minit dan menyampaikan karya mereka disamping menyampaikan mesej tentang bahayanya penyalahgunaan dadah kepada pengunjung. Di antara kumpulan-kumpulan muzik bebas tersebut adalah The Times, Dichi Michi, Matematik, Arus, Dish, Fynn Jamal, Tilu, Musika, Morning Glory, Afiq AF dan penampilan istimewa ‘band’ pengasih sendiri.

Lebih manis apabila program ini diserikan lagi dengan lintas langsung skuad Hot FM Viva Zoomers pada sebelah petang. Selain itu pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang program seperti mural tapak tangan (simbol sokongan kempen anti dadah dikalangan pelajar), cabutan bertuah, pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan gerai. Program tamat sekitar jam 7 petang dan diangggarkan seramai 1300 orang pengunjung hadir pada program ini.

No comments: