Monday, February 8, 2010

Mesra Berbudaya Bersama Rakyat

Pada 23 Januari 2010 (Sabtu) yang lepas, satu program karnival “Mesra Berbudaya Bersama Rakyat” telah diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bermula seawal 7.00 pagi dan tamat pada 6.30 petang. Program ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Subang Jaya serta agensi – agensi kerajaan yang lain.

Program ini bertujuan untuk memupuk semagat perpaduan dan merapatkan hubungan antara masyarakat dengan agensi kerajaan serta memupuk minat masyarakat terhadap sukan rakyat dan kebudayaan yang bersesuaian dengan tema program iaitu “Budaya Disanjung Tradisi Diwarisi”

Karnival “Mesra Berbudaya Bersama Rakyat” ini telah dirasmikan oleh Y.A.B Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid b. Ibrahim (Doto’ Menteri Besar Selangor) pada jam 3.30 petang. Di antara tetamu kehormat yang hadir ialah Y. Bhg Dato’ Mazalan b. Md Noor (Datuk Bandar Shah Alam), Y.B Puan Rodziah Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Kebudayaan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi), Y.B Tuan Ronnie Liu Tian Khiew (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan) serta Ahli Dewan Negeri dan Parlimen.

Antara aktiviti–aktiviti yang berlangsung pada program tersebut ialah acara senam seni, persembahan seni mempertahankan diri iaitu Tai Chi dan Seni Silat Melayu serta acara sukaneka rakyat seperti congkak, batu seremban, galah panjang, sardugudu, sepak raga bulatan dan lain–lain. Program ini turut diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan seperti tarian zapin, tarian cina, orang asal, keroncong, tarian singa dan coral speaking.

Terdapat juga khemah–khemah jualan dan pameran oleh jabatan dan agensi jemputan seperti Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan lain–lain agensi. Karnival ini berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pemenang dan dianggarkan lebih 1200 orang pengunjung yang hadir sepanjang ia berlangsung.

No comments: