Monday, February 8, 2010

Shah Alam - Sragen, Jalinan Dua Kota

Pada 26 hingga 29 Januari 2010, Bandaraya Shah Alam telah menerima lawatan dari Delegasi dan Kumpulan Seni Budaya Pemerintah Kabupaten Sragen. Lawatan ini adalah bertujuan untuk menjalinkan hubungan dua hala bersama kota pemerintah ini, bagi menjadikannya sebagai bandar berkembar atau “sister-city” . Majlis Bandaraya Shah Alam dan Pemerintah Kabupaten Sragen telah menjalin hubungan sejak tahun 2007 lagi, dengan beberapa siri lawatan dan kunjungan balas.

Pada 27 Januari 2010, Satu persembahan kebudayaan telah diadakan “Sragen – Shah Alam, Jalinan Budaya Dua Bangsa Serumpun” bertempat di ruang legar, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Persembahan kebudayaan tersebut telah disertai oleh Kumpulan Seni Budaya Sragen, Kombo Majlis Bandaraya Shah Alam dan Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara Negeri Selangor (JKKNNS). Di dalam majlis itu, Kumpulan Seni Budaya Sragen telah mempersembahkan beberapa buah tarian kebudayaan serta bacaan puisi yang bertajuk “The Indonesian Farmers Happiness”. Sementelahan itu, Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara Negeri Selangor (JKKNNS) telah membawa pelbagai tarian kebudayaan berbilang kaum yang terdapat di Malaysia dan Kombo Majlis Bandaraya Shah Alam telah mengiringi nyanyian Nur Nazatul Azwa (wawa) dengan nyanyian lagu – lagu asli yang popular.

Di antara tetamu kehormat yang hadir ialah Y.B Puan Rodziah Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Kebudayaan Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi), Y. Bhg Dato’ Mazalan bin Md Noor (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam) dan Ahli–ahli Majlis, Majlis Bandaraya Shah Alam.

Secara tuntasnya, persembahan kebudayaan yang diadakan ini sebagai pemangkin ke arah melestarikan kesenian dan kebudayaan, disamping mengukuhkan hubungan dua Negara.

No comments: